Nuffnang Ads

Friday, June 29, 2012

Indahnya Sabar



Assalammualaikum..
Salam Ceria, Salam Ukhwah dan Salam Jumaat kepada semua.
Semoga sahabat semua tergolong antara insan-insan Mukmin yang penyabar.

Sabar ialah salah satu akhlak yang mulia disisi agama Islam. Ia merupakan pegangan bagi setiap individu mukmin. Orang yang memiliki sifat sabar akan sentiasa tenang, tenteram, mampu menahan diri dari bencana dan ujian serta mempunyai daya juang dan ketabahan yang utuh dalam semua keadaan.

Indahnya sabar tidak dapat dinilai dengan kata-kata, ia hanya dapat dinilai dengan praktis dan amalan sebagaimana besarnya pahala sabar tida k dapat dinilai dengan angka. Indahnya sabar hanya dirasai oleh mereka yang mempraktiskannya.

Dari Abu Hurairah r.a. .meriwayatkan bahawa, satu ketika seorang lelaki sedang mencerca Saidina Abu Bakar r.a. sedang Nabi saw duduk di hadapannya.  Orang itu terus mencacinya sedangkan Saidina Abu Bakar r.a. dan Nabi saw terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi saw tersenyum.  Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a. menjawab cacian itu.  Mendengarkan akan jawapan itu, Nabi saw begitu marah, lalu meninggalkannya. Abu Bakar r.a. menyusul Nabi saw di belakang dan berkata, “Ya Rasulullah saw, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampak marah dan bangun”.

Nabi saw menjawab, “Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihak kamu, tetapi apabila kamu menjawab semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan, oleh kerama itu aku meninggalkan kamu”. ~ (Hadis Riwayat Ahmad)

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”. (Surah Al-Anfal, ayat : 46)

Menurut Kamus Dewan, perkataan sabar mempunyai  2  erti :

1.       Sanggup menahan penderitaan  - iaitu mampu menghadapi kesusahan dan penderitaan dalam mencapai cita-cita untuk kehidupan yang bahagia.

2.       Tidak terburu-buru – iaitu mengajar kita supaya berwaspada dan melaksanakan tugasan secara berhemah dan berhati-hati.

Harus diakui bahawa hidup di dunia ini penuh dengan cabaran dan rintangan. Apa yang kita mahu dan perlukan tidak akan sampai dengan mudah dan senang. Kadang-kadang terpaksa bertungkus lumus mencurahkan tenaga yang banyak, namun hasilnya masih tidak kelihatan.  Inilah gambaran dunia yang mencabar kesungguhan, ketekunan dan kesabaran kita.

Allah SWT menyediakan kekuatan dalam diri kita supaya mampu menghadapi segala cabaran. Dorongan Allah  SWT supaya kita bersabar merupakan tanda kasih sayangNYA kepada kita.

Walaupun erti sabar sangat jelas, namun masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak memahami atau keliru mengenainya. Bagi golongan ini, sabar tidak memerlukan apa-apa usaha dan ikhtiar bagi mengatasi kesusahan dan penderitaan yang diterimanya.

Contohya, jika ditimpa penyakit, dia hanya menahan kesakitan tanpa berikhtiar untuk menghilangkan  atau mengubati penyakit itu. Begitu juga apabila ditimpa kemiskinan dan tiada makanan, dia hanya berlapar tanpa berusaha mencari makanan.

Pemahaman seperti ini adalah tidak menepati kehendak Islam sebenar. Dalam Islam, jika kita berada dalam kesusahan, kita hendaklah sabar dan cekal menerima kesusahan di samping berikhtiar mengatasinya dengan bijaksana.

Setiap manusia hidup di dunia akan diuji dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Berjaya atau gagal bukan menjadi ukuran kerana semuanya telah ditentukan. Ganjaran dibalas atas usaha dan kesabaran yang disulami doa serta tunduk menyerah pada kuasa Ilahi.  Berkat kesabaran, Rasulullah saw berjaya mengubah dunia walaupun pada mulanya dihina dan dicerca oleh kaum yang tidak dapat melihat kebenaran.

Semoga kita sama-sama dapat menikmati pesona kesabaran dan mengamalkan sepanjang hayat dikandung badan.

InsyaAllah…

Thursday, June 28, 2012

Sajak Sakaratul Maut (Soutul Arqam) - Sesungguhnya Mati itu Pasti

 
Sajak Sakaratul Maut Part 1


Sakaraaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!
Sakaraaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!
Sakaratul maut.. maut.. maut.. maut.. maut..!

Di hari itu seorang OB rebah di kamar mandi
Diserang lemah jantungnya
Yang menggugat nyawanya
Tengah malam
Pulang dari sebuah hotel di KL
Bersama puan mudanya
Bersama mulut dan lidahnya
Yang dinajisi alkohol
Dan banglonya di atas bukit

Puan Muda menelefon doktor peribadi OB
Dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya
Dan sebatang jarum injeksen
Dibenamkan ke urat OB

Dan berombak-ombaklah nafasnya
Bergelombang dadanya
Dilambung nazak
Hempas-menghempas

Tujuh hari tujuh malam
OB bergeletekan
Golek gelentang di pembaringan
Dan seluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya

Bangloku, Mercedezku, wangku dalam bank Bumi
Saham-sahamku di syarikat-syarikat
Rumah-rumah sewaku
Pengarah-pengarah
Kuda-kudaku di Padang Gombak
Padang golfku
Anak-anakku di luar negeri
Dan isteri mudaku

Nazak hempas-menghempas
Pulas-memulas
Dan pintal-memintal

Makan? Geleng kepala
Minum? Geleng kepala
Arak? Geleng kepala
Isteri muda? Geleng kepala
Mau ke padang lumba kuda? Geleng kepala
Mau pergi ke Genting Highland? Geleng kepala
Melancong ke Eropah? Geleng kepala
Ke Mekah naik haji? Geleng kepala

Apa yang kau mahu?!

Oh tuhan..
Panjangkan umurku..

Panjang umur?
Berapa tahun engkau mahu?
100 tahun? Cukup?
Ya 100 tahun

63 tahun tidak cukup?
Tak puas hidup?
Tidak kenyang makan maksiat
Belum bosan mengumpul dosa
Kau mahu panjang umur lagi

Sedetik lagi sakaratul maut datang
Sedetik lagi Izrail datang
Sedetik lagi malaikatul maut datang
Kau diambang sakaratul maut
Kau nazak sekarang wahai OB

Aku makin tegang
Dan makin sendat nafas di dada
Kedinginan mulai memanjang
Dan merayap kaki
Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad dan.. tubuhku

Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah
Keluhan dan rintihan..

Panas!!!!!!!!!
Dahaga!!!!!!!
Haus!!!!
Panassss!!!!!!!!

Air 7 lautan mau diteguk
Sebesar 7 dunia kelaparan merobek usus-usus
Syaitan-syaitan datang berbondong-bondong
Menginjak-injak aku
Menggudah aku
Mau memurtadkan aku

Nenekku datang.. nenek!

Kau dahaga cucu?
Kau lapar cucu?
Mau air?
Ini bijana penuh air madu
Kalau cucu mau masuk syurga
Minum air ini

Ibu!!!!!!!!!!

Ibuku menggoyangkan buah susunya
Ini ibumu
Air susu ini membesarkan kau nak
Buangkan Islam
Matilah dalam agama Yahudi

Ayah!!!!!!!!!!!!

Kau datang ayah?
Matilah dalam agama Yahudi wahai anakku
Matilah dalam agama Kristian
Itulah agama yang membawa kau masuk ke syurga katanya

Ucaplah!
Laaaaaaaaaaaaaaaaaailaaaaaaaaaaahaillallaaaaaaaah!
Tidak! Tidak! Tidaaaaaaaaaaaaaaaak!




Sajak Sakaratul Maut Part 2




Ucaplah!
Laaaaaaaaaaaaaaaaaailaaaaaaaaaaahaillallaaaaaaaah!
Tidak! Tidak! Tidaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaak!

Rumahku
Mercedezku
Wangku dalam bank
Saham-sahamku
Kuda-kudaku
Kolam mandiku
Padang golfku
Isteri-isteriku
Dan duniaku!

Sakaratul maut pun datang
Pak Lebai dari rumah setinggan
Dipanggil oleh pemandu dengan Mercedez
Dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin
Tapi lidahku telah kelu
Dan sakaratul maut kian detik tiba

Manusia-manusia berjubah hitam datang
Mari ikut kami!

Manusia-manusia berjubah hijau datang membawa payung hijau
Katanya..
Mari ikut kami!

Cahaya putih datang
Datang sinar kuning
Datang kiratan hitam
Cahaya merah datang

Apa ini?!
Apa ini?!

Aku sakaaaaaratul mauuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuut!

Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan
Dari hujung kaki ke hujung rambut
Dan kini seluruh jasadku diseliputi sejuk
Dan dingin singgah ditenggorokan

Kemudian datanglah malaikatul maut di hujung kepalaku

Hai!!! Jiwa yang keji!
Keluarlah kepada kemurkaan Allah!
Rohku berselerak ke seluruh tubuhku
lalu..

Inna lillahi wainna ilaihi rajiuuuuunn

Malaikat-malaikat yang menunggu sesayup mata memandang
Dan menghemburlah bau bangkai sebusuk-busuknya

Tuliskan! Suratannya dalam sektor pada bumi yang terbawah

Roh aku dicampakkan
Dikembalikan ke dalam jasad
Lalu datang dua orang malaikat
Dan didudukinya aku

Siapa Tuhanmu!
Hah hah hah aku tidak tahu!!!!!!!!!

Apa engkau mahu?!
Hah hah hah aku tidak tahu!!!!!!!!

Siapa lelaki ini yang diutus kepadamu?!
Ah ah ah aku tidak tahu!!!!!!!!

Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya
Buruk pakaiannya
Busuk baunya

Siapa engkau?

Akulah amalanmu yang kejiiii…

Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur
Menunggu..
Menunggu doa anak yang soleh

Mana doa anakku seorang peguam?
Mana doa anakku seorang doktor?
Mana doa anakku seorang jurutera?
Mana doa anakku seorang arkitek?
Manaaaa doa anakku seorang professor?

Manaaaa?!
Manaaaaaaaaaaaa?!
Manaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa?!


Tuesday, June 26, 2012

3 Malam Yang Allah SWT zahirkan kekuasaanNya kepada hambaNya yang 'MUKMIN'.



3 Malam Yang Allah SWT zahirkan kekuasaanNya kepada hambaNya yang Mukmin.
  
1.       Pada Bulan Rejab, Allah SWT menzahirkan kekuasaanNya dengan berlakunya ISRA’ & MIKRAJ sehingga Solat diFARDUkan pada malam tersebut.

2.       Pada Bulan Syaaban, MALAM NISFU SYAABAN, Allah SWT menzahirkan kekuasaanNya dengan semua buku catatan amalan manusia ditukarkan.

3.       Pada Bulan Ramadhan, Allah SWT menzahirkan kekuasaanNya dengan menghantarkan rombongan Malaikat Rahmat agar mengunjungi hamba-hamba Allah SWT yang rindukan Allah SWT, yang hidup suci tanpa Maksiat di siang hari dan berqiamullail di malam hari iaitu MALAM LAILATUL QADAR

Berbahagialah kepada mereka yang beriman kepada Allah SWT yang sepanjang hayatnya berada diatas landasan Allah SWT, tidak sesaat pun hayatnya digunakan untuk nafsu dan maksiat serta melayani permintaan syaitan.


Monday, June 25, 2012

'Ghibah' atau 'Buhtan'...MasyaAllah



Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar/mengumpat) amat buruk, apalagi Buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat Muslim)

Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang dipahami sebagai hinaan. Mendengar orang yang sedang ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan berikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana boleh mengakibatkan putus ukhwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib, lahir kehinaan dan timbul keinginan untuk melakukannya.

MasyaAllah..

Tahniah kepada rakyat MESIR


Tahniah Rakyat Mesir.  Pemimpin berfikrah hebat akan memimpin kamu!
 

 ALHAMDULILLAH,  syukur kehadrat ilahi atas kemenangan Dr.  Mohammed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru selepas REVOLUSI 25 Januari 2011. 

Semoga dengan kemenangan ini akan menyuburkan kembali kegemilangan ISLAM di bumi Mesir.

Rakyat mesir meraikan sebuah kemenangan yang sangat bermakna buat Islam. Allahuakbar!

Jutaan umat Islam bersujud syukur di Medan Tahrir, Kaherah Mesir bagi menyambut kejayaan Dr. Mohammed Morsi yang telah memenangi Pilihanraya Presiden Mesir  semalam, 24 Jun 2012.

 
Sememangnya jalan kepada kejayaan sebenar masih lagi panjang dan berliku. Namun sebagai umat Islam, kita berharap agar kejayaan awal di Mesir ini akan menjadi pemangkin kepada pembukaan kembali Baitul Maqdis, kejayaan Islam di Timur Tengah dan juga di dunia antarabangsa.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar..

Kenali  siapa DR. MOHAMMED MORSI – PRESIDEN MESIR  yang baru.


1.       Satu-satunya calon yang mana dia, isteri dan 5 anaknya menghafaz al-Quran

2.       Satu-satunya calon yg berjanji di hadapan Allah dan rakyat utk melaksanakan syariat Islam

3.       Satu-satunya calon yg pernah mengajar di 5 buah universiti antarabangsa 

4.       Satu-satunya calon yg pelbagai artikelnya diterbitkan oleh NASA

5.       Satu-satunya calon yg pernah terpilih sebagai ahli parlimen terbaik di dunia dari tahun 2000-2005.

6.       Satu-satunya calon yg tidak mencalonkan dirinya untuk jawatan tetapi dipilih oleh syura.

7.       Satu-satunya calon yg memperolehi sokongan dari pergerakan cendikiawan terbesar Mesir iaitu Islamic Legitimate Body of Rights and Reformation

8.       Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya parti politik terbesar Mesir iaitu Perti Kebebasan dan Keadilan 

9.       Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya Jamaah Islam terbesar di dunia iaitu Jamaah Ikhwan Muslimin.

10.   Satu-satunya calon yang memiliki sebesar-besar projek pembangunan dan mengabungkan 1000 orang pakar dalam semua bidang kepakaran.

Rujukan : DISINI

Friday, June 22, 2012

Tazkirah Diri


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Salam Ukhwah dan Salam Jumaat buat semua..

Seperti hari-hari yang berlalu, kita mampu bangun dari lena pagi ini. Kita masih lagi diizinkan oleh Ar Rahim untuk menghirup udara kehidupan. Menghirup nikmat-nikmat Allah yang tak terkira banyaknya yang sentiasa menguji iman di hati samada kita bersyukur atau masih alpa.

Helaian hidup diselak dan sehari lagi kita terus mendekati saat kematian yang telah ditentukan. Akan tetapi, hati kita seakan-akan lupa hakikat kematian itu. Setiap waktu kita sibuk degan hal-hal duniawi yang melalaikan kita dari mengingati hari mati yang pasti.

Mati seakan-akan ‘mati’ dalam hidup kita. Saban hari kita diwartakan dengan cerita-cerita manusia bersengketa tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam sesama bangsa dan mendabik dada. Harta, kuasa dan  nama menjadi hijab, menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut ke mana sahaja manusia pergi. Cinta dunia melenyapkan hakikat adanya sebuah kehidupan yang abadi.


بسم الله الرحمن الرحيم
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (Surah Al Imran, ayat :185)

Tiada kesenangan yang abadi dan hakiki. Hidup biarlah berpada-pada. Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah manusia yang bertemankan mujahadah dan taubat. Berusahalah menjadi baik walaupun kejahatan dan dosa menggamit kita.. Jangan pernah jemu bertaubat kerana Allah SWT tidak pernah menutup pintu untuk hambanya bertaubat walaupun telah berkali-kali kita memungkiri. Jangan pernah mmberhentikan langkah ke jalan mujahadah walaupun langkah kita selalu sahaja goyah.


بسم الله الرحمن الرحيم
“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Surah Al Imran, ayat :195)

Tuluskan hati kita sesama insan. Jangan pernah hati kita berhasad, elakkan mengumpat. Jika tidak mampu menambahkan pahala kita, jangan cuba mengurangkan yang sedia ada.

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Tuhan tidak mencipta manusia itu bodoh.Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Banyakkan belajar dan  carilah dimana ‘kebijaksanaan itu kerana ianya adalah jalan untuk kita menjadi manusia yang sebenar-benarnya.



Friday, June 15, 2012

Salam Ukhwah


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Salam ukhwah 

Persahabatan bukanlah siapa yang paling lama kita kenal,
siapa yang pertama datang kepada kita  atau siapa yang paling berjaya meraih perhatian kita
Tetapi..
persahabatan adalah siapa yang datang dan tidak akan pernah pergi daripada kita
Jadilah seorang sahabat yang punya perilaku  indah
bila mana kita mampu merendahkan diri kita serendah mutiara didasar laut.
Jadilah sahabat yang paling baik..
dan kita akan dikelilingi oleh mereka dari kalangan yang baik-baik.
 
Jika kita manusia berilmu..
Ilmu pembentuk kerendahan hati
Walau dalam apa keadaan..
Kita sentiasa mampu menyesuaikan diri..

CACIAN disambut dengan SENYUMAN..
HINAAN ditangkis dengan SOPAN..
KEMARAHAN dibatasi dengan KESABARAN..
KEJAHATAN dibalas dengan KEBAIKAN.


 
 
 

Kemuliaan yang paling berharga dalam kehidupan seseorang ialah kerana ilmu dan amalannya. Insan seperti ini sebenarnya bukan sahaja dimuliakan antara sesama manusia bahkan Allah SWT juga turut memuliakannya.
 
بسم الله الرحمن الرحيم
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan". (Surah Al-Mujadila, ayat:11)
 
Oleh itu, sementara hayat dikandung badan, nadi masih berdenyut dan kesihatan masih mengizinkan, marilah kita merebut kesempatan ini untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin kerana semakin banyak ilmu yang kita dapat maka semakin banyak amalan yang boleh kita lakukan.
 
InsyaAllah..