Nuffnang Ads

Thursday, August 30, 2012

Segalanya Tentang Hati...



Jagalah hati jangan dikotori
Jagalah hati jangan dinodai
Jagalah hati dalam menangani  hidup ini
kerana ia cahaya untuk menemui Ilahi

Bila hati bersih

Fikiran akan jernih
Semangat hidup makin gigih
Kebahagiaan hidup mudah diraih

Namun bila hati keruh

Batin selalu gemuruh
Seakan dikejar musuh
Jalan menemui Allah kian jauh

Bila hati suci

tak ada yang disakiti
Peribadi menawan hati
Terpancar wajah mukmin sejati

Namun bila hati busuk

Fikiran jahat mula merasuk
Akhlak semakin buruk
Akan menjadi makhluk terkutuk

Bila hati semakin lapang

Hidup sempit terasa senang
Walau apa jua kesulitan datang
Dihadapi dengan tenang

Namun bila hati sempit

Segalanya jadi rumit
Hidup  terus terhimpit
Zahir dan batin terasa sakit

Jagalah hati jangan dikotori
Jagalah hati jangan dinodai
Jagalah hati dalam menangani hidup ini
kerana ia cahaya untuk menemui Ilahi




Sabda Rasulullah S.A.W :


“Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)



Friday, August 17, 2012

Ramadan kian berlalu dan Syawal menjelma lagi

Ramadan  akan menghilang kembali dan bulan Syawal akan menjelma, menceriakan kita. Ini lah tandanya kita umat Rasullullah saw dan hamba Allah sekali lagi akan menamatkan tugasan ibadah yang mencabar dan penuh kenangan pahit manis di tahun ini. Bermakna, kita telah melaksanakan  amanah yang diwajibkan keatas semua umat Islam.  Malah kita sendiri dapat menilai apakah sempurna ibadah puasa kita atau apakah KPI keimanan kita pada bulan Ramadan ini.  Walau apapun,  mudah-mudahan kita semua umat Rasullulah saw dipanjatkan ketaqwaan sepanjang masa setelah kita melaksanakan sebulan lamanya tugasan ibadah dan amanah dengan penuh keinsafan.

Dengan kedatangan Eidul Fitri ini bermakna hari kemenangan umat Islam, perlu disambut dengan rasa gembira dan bersyukur diatas kemenangan iman menakluki nafsu dalam bulan Ramadan. Eid bermakna hari kejayaan dan Fitri bermakna fitrah iaitu nurani yang bersih.

Hari lebaran membuka ruang untuk bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan, kasih sayang dan berlemah lembut sesama Mukmin.

Sambutlah Eidul Fitri dengan sederhana. Sederhana dalam makanan dan perhiasan. Yang meriah ialah hati kerana iman yang diperolehi.

Amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah saw sempena menyambut ketibaan Aidilfitri ini.

1.       Bertakbir  -

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah



2.       Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri  -

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun bagi  para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).”

3.       Meneruskan qiamullail 

4.       Mandi pada pagi hari raya –

Disunahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i

5.       Makan sebelum solat Aidilfitri.  –

Disunahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri.  Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma".

6.        Memakai pakaian yang indah  -

Disunahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafie r.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

7.       Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya –

Disunahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: “Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya". Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu .

8.       Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

9.       Tempat perlaksanaan solat hari raya  -

Sunah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w.


10.   Mengerjakan Solat Aidilfitri  -

Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

11.   Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri –

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.

12.   Mengerjakan Puasa Sunat 6 Hari pada bulan Syawal  -

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.


Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Pada kesempatan ini saya memohon ampun dan maaf kepada semua sahabat-sahabat di atas salah dan silap dan di atas terkasar bahasa yang menyinggung perasaan sahabat semua. "Semoga Allah terima amal kami dan amal kamu."

Wassalam


Tuesday, August 14, 2012

Salam Aidil Fitri



Sempena bulan baik dan menjelang Aidil Fitri, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf daripada sahabat-sahabat yang selalu mengunjungi blog ini jika jari saya ini pernah menaip perkataan-perkataan yang menyinggung perasaan dan menyakiti hati kawan-kawan antara sedar ataupun diluar kesedaran saya dan juga antara langsung ataupun tidak langsung.

Kadang-kadang mata tidak memandang dengan ramah, hati tidak menilai dengan jernih, dan mulut tidak berbicara dengan sopan.

Harap dimaafkan dan mohon segala kesalahan tidak disimpan di dalam hati.

Ja’alanallahu wa iyyakum minal ‘aidin wal faizin. 
Taqabbal allahu minna wa minkum.


Friday, August 10, 2012

Samada yang TERBURUK ataupun TERBAIK


Seorang ibu yang dermawan telah menghadiahkan seekor kambing kepada Luqman al-Hakim.

Ibu itu berpesan, “Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan.”

Setelah disembelih, Luqman mengirim hati dan lidah kambing kepada ibu itu.

Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing. Kali ini dia berpesan agar dikirimkan bahagian yang terbaik daripada kambing itu.

Setelah kambing disembelih, Luqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu.

“Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan dikirimkan bahagian yang sama ketika saya memesankan bahagian yang terbaik?” tanya ibu tersebut kepada Luqman.

Luqman menjawab, “Hati dan lidah amatlah baik ketika ia baik dan menjadi buruk apabila keduanya buruk.”

Mendengar jawapan tersebut, mengertilah ibu itu akan maksud Luqman. Hati dan lidah itu adalah tunjang segala kebaikan dan juga ibu kejahatan serta keburukan.



Thursday, August 9, 2012

KISAH IBLIS BERTEMU DENGAN RASULULLAH



Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW di kediaman seorang sahabat Anshar, tiba - tiba terdengar panggilan seseorang dari luar rumah:

"Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk? Sebab kalian akan memerlukanku. "

Rasulullah bersabda : "Tahukah kalian siapa yang memanggil?"

Kami menjawab : "Allah dan rasulNya yang lebih tahu."

Beliau melanjutkan, "Itu iblis, laknat Allah bersamanya."

Umar bin Khattab berkata: "Izinkan aku membunuhnya wahai Rasulullah"

Nabi menahannya :" Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahwa Allah memberinya kesempatan hingga hari kiamat? Lebih baik bukakan pintu untuknya, sebab dia telah diperintahkan untuk ini, fahamilah apa yang hendak ia katakan dan dengarkan dengan baik."

Ibnu Abbas RA berkata: Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang tua yang cacat satu matanya. Di janggutnya terdapat 7 helai rambut seperti rambut kuda, taringnya terlihat seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi..

Iblis berkata: "Salam untukmu Muhammad.... Salam untukmu para hadirin..."

Rasulullah SAW lalu menjawab : "Salam hanya milik Allah SWT, sebagai mahluk terlaknat, apa keperluanmu? "

Iblis menjawab : "Wahai Muhammad, aku datang ke sini bukan atas kemahuanku, namun kerana terpaksa."

"Siapa yang memaksamu? "

"Seorang malaikat utusan Allah mendatangiku dan berkata:

"Allah SWT memerintahkanmu untuk mendatangi Muhammad sambil menundukkan diri. Beritahu Muhammad tentang caramu dalam menggoda manusia. Jawablah dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah, andai kau berdusta satu kali saja, maka Allah akan jadikan dirimu debu yang ditiup angin."

"Oleh kerana itu aku sekarang mendatangimu. Tanyalah apa yang hendak kau tanyakan. Jika aku berdusta, aku akan dicaci oleh setiap musuhku. Tidak ada sesuatu pun yang paling besar menimpaku daripada cacian musuh."

ORANG YANG DIBENCI IBLIS

Rasulullah SAW lalu bertanya kepada Iblis: "Kalau kau benar jujur, siapakah manusia yang paling kau benci?"

Iblis segera menjawab: " Kamu, kamu dan orang sepertimu adalah mahkluk Allah yang paling aku benci."

"Siapa selanjutnya? "

"Pemuda yang bertakwa yang memberikan dirinya mengabdi kepada Allah SWT."

"Lalu siapa lagi?"

"Orang Alim dan wara'"

" Lalu siapa lagi?"

"Orang yang selalu bersuci."

"Siapa lagi?"

"Seorang fakir yang sabar dan tak pernah mengeluhkan kesulitannya kepada orang lain."

"Apa tanda kesabarannya? "

" Wahai Muhammad, jika ia tidak mengeluhkan kesulitannya kepada orang lain selama 3 hari, Allah akan memberi pahala orang - orang yang sabar."

"Selanjutnya apa?"

"Orang kaya yang bersyukur."

"Apa tanda kesyukurannya ?"

"Ia mengambil kekayaannya dari tempatnya, dan mengeluarkannya juga dari tempatnya ."

"Orang seperti apa Abu Bakar menurutmu?"

"Ia tidak pernah menurutiku di masa jahiliyah, apalagi dalam Islam."

"Umar bin Khattab?"

"Demi Allah setiap berjumpa dengannya aku pasti kabur. "

"Usman bin Affan?"

"Aku malu kepada orang yang malaikat pun malu kepadanya ."

"Ali bin Abi Thalib?"

" Aku berharap darinya agar kepalaku selamat, dan berharap ia melepaskanku dan aku melepaskannya. Tetapi ia tak akan mahu melakukan itu." (Ali bin Abi Thalib selau berdzikir terhadap Allah SWT)

AMALAN YANG DAPAT MENYAKITI HATI IBLIS

"Apa yang kau rasakan jika melihat seseorang dari umatku yang hendak solat?"

"Aku merasa panas dingin dan gementar. "

"Kenapa?"

"Sebab, setiap seorang hamba bersujud 1x kepada Allah, Allah mengangkatnya 1 darjat."

"Jika seorang umatku berpuasa?"

"Tubuhku terasa terikat hingga ia berbuka ."

"Jika ia berhaji?"

"Aku seperti orang gila. "

"Jika ia membaca al-Quran?"

"Aku merasa meleleh laksana timah di atas api."

"Jika ia bersedekah?"

"Itu sama saja orang tersebut membelah tubuhku dengan gergaji."

"Mengapa jadi begitu? "

"Sebab dalam sedekah ada 4 keuntungan baginya... Iaitu keberkahan dalam hartanya, hidupnya disukai, sedekah itu kelak akan menjadi hijab antara dirinya dengan api neraka dan segala macam musibah akan terhalau dari dirinya."

"Apa yang dapat mematahkan pinggangmu?"

"Suara kuda perang di jalan Allah."

"Apa yang dapat melelehkan tubuhmu?"

"Taubat orang yang bertaubat."

"Apa yang dapat membakar hatimu?"

"Istighfar di waktu siang dan malam."

"Apa yang dapat mencoreng wajahmu?"

"Sedekah yang diam - diam. "

"Apa yang dapat menusuk matamu?"

"Solat fajar(subuh)."

"Apa yang dapat memukul kepalamu? "

"Solat berjamaah."

"Apa yang paling mengganggumu? "

"Majlis para ulama."

"Bagaimana cara makanmu?"

"Dengan tangan kiri dan jariku."

"Dimanakah kau menaungi anak - anakmu di musim panas?"

"Di bawah kuku manusia."


MANUSIA YANG MENJADI TEMAN IBLIS

Nabi lalu bertanya : "Siapa temanmu wahai Iblis?"

"Pemakan riba."

"Siapa sahabatmu?"

"Penzina."

"Siapa teman tidurmu?"

"Pemabuk.."

"Siapa tetamumu? "

"Pencuri."

"Siapa utusanmu?"

"Tukang sihir."

"Apa yang membuatmu gembira?"

"Bersumpah dengan cerai."

"Siapa kekasihmu? "

"Orang yang meninggalkan solat jumaat"

"Siapa manusia yang paling membahagiakanmu? "

"Orang yang meninggalkan solatnya dengan sengaja."

Iblis Tidak Berdaya Di hadapan Orang Yang Ikhlas

Rasulullah SAW lalu bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu. "

Iblis segera menimpali :" Tidak , tidak.. Tak akan ada kebahagiaan selama aku hidup hingga hari akhir. Bagaimana kau boleh berbahagia dengan umatmu, sementara aku boleh masuk ke dalam aliran darah mereka dan mereka tak boleh melihatku.

Demi yang menciptakan diriku dan memberikan ku kesempatan hingga hari akhir, aku akan menyesatkan mereka semua. Baik yang bodoh, atau yang pintar, yang boleh membaca dan tidak boleh membaca, yang durjana dan yang soleh, kecuali hamba Allah yang ikhlas."

"Siapa orang yang ikhlas menurutmu ?"

"Tidakkah kau tahu wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai emas dan perak, ia bukan orang yang ikhlas. Jika kau lihat seseorang yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan, aku boleh pastikan bahawa ia orang yang ikhlas, maka aku meninggalkannya. Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan dan hatinya selalu terikat dengan kesenangan dunia, ia sangat patuh padaku."

IBLIS DIBANTU OLEH 70000 ANAK-ANAKNYA

Tahukah kamu Muhammad, bahawa aku mempunyai 70000 anak.. Dan setiap anak memiliki 70000 syaitan.

Sebahagian ada yang aku tugaskan untuk mengganggu ulama. Sebahagian untuk menggangu anak - anak muda, sebahagian untuk menganggu orang - orang tua, sebahagian untuk mengganggu wanita - wanita tua, sebahagian anak -anakku juga aku tugaskan kepada para Zahid.

Aku punya anak yang suka mengencingi telinga manusia sehingga ia tidur pada solat berjamaah. Tanpanya, manusia tidak akan mengantuk pada waktu solat berjamaah.

Aku punya anak yang suka menaburkan sesuatu di mata orang yang sedang mendengarkan ceramah ulama hingga mereka tertidur dan pahalanya terhapus.

Aku punya anak yang senang berada di lidah manusia, jika seseorang melakukan kebajikan lalu ia khabarkan kepada manusia, maka 99% pahalanya akan terhapus.

Pada setiap seorang wanita yang berjalan, anakku dan syaitan duduk di pinggul dan pahanya, lalu menghiasinya agar setiap orang memandanginya.

Syaitan juga berkata, "Keluarkan tanganmu", lalu ia mengeluarkan tangannya lalu syaitan pun menghiasi kukunya.

Mereka, anak - anakku selalu meyusup dan berubah dari satu tempat ke tempat lainnya, dari satu pintu ke pintu yang lainnya untuk menggoda manusia hingga mereka terhempas dari keikhlasan mereka.

Akhirnya mereka menyembah Allah tanpa ikhlas, namun mereka tidak merasa.

Tahukah kamu, Muhammad? Bahawa ada rahib yang telah beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Setiap orang sakit yang didoakan olehnya, sembuh seketika. Aku terus menggodanya hingga ia berzina, membunuh dan kufur.

Cara Iblis Menggoda

Tahukah kau Muhammad, dusta berasal dari diriku?

Akulah makhluk pertama yang berdusta.

Pendusta adalah sahabatku. Barangsiapa bersumpah dengan berdusta, ia kekasihku.

Tahukah kau Muhammad?

Aku bersumpah kepada Adam dan Hawa dengan nama Allah bahawa aku benar-benar menasihatinya.

Sumpah dusta adalah kegemaranku.

Ghibah (gosip) dan Namimah (adu domba) kesenanganku.

Kesaksian palsu kegembiraanku.

Orang yang bersumpah untuk menceraikan isterinya ia berada di pinggir dosa walau hanya sekali dan walaupun ia benar. Sebab barang siapa membiasakan dengan kata - kata cerai, isterinya menjadi haram baginya. Kemudian ia akan beranak cucu hingga hari kiamat. Jadi semua anak - anak zina dan ia masuk neraka hanya kerana satu kalimat, CERAI.

Wahai Muhammad, umatmu ada yang suka lalai semasa solat. Setiap ia hendak berdiri untuk solat, aku bisikan padanya waktu masih lama, kamu masih sibuk, lalu ia menundanya hingga ia melaksanakan solat di luar waktu, maka solat itu dipukulkannya kemukanya.

Jika ia berhasil mengalahkanku, aku biarkan ia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya 'lihat kiri dan kananmu',

Dia pun menoleh. Pada masa itu aku usap dengan tanganku dan kucium keningnya serta aku katakan 'solatmu tidak sah'.

Bukankah kamu tahu Muhammad, orang yang banyak menoleh dalam solatnya akan dipukul.

Jika ia solat sendirian, aku suruh dia untuk bergegas. Dia pun solat seperti ayam yang mematuk beras.

Jika dia berhasil mengalahkanku dan dia solat berjamaah, aku ikat lehernya dengan tali, hingga dia mengangkat kepalanya sebelum imam, atau meletakkannya sebelum imam.

Kamu tahu bahawa melakukan itu batal solatnya dan wajahnya akan diubah menjadi wajah keldai.

Jika dia berhasil mengalahkanku, aku tiup hidungnya hingga dia menguap dalam solat. Jika ia tidak menutup mulutnya ketika menguap, syaitan akan masuk ke dalam dirinya, dan membuatnya menjadi bertambah serakah dan gila dunia.

Dan diapun semakin taat padaku.

Kebahagiaan apa untukmu, sedang aku memerintahkan orang miskin agar meninggalkan solat. Aku katakan padanya, 'kamu tidak wajib solat, solat hanya wajib untuk orang yang berkemampuan dan sihat. Orang sakit dan miskin tidak, jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.'

Dia pun mati dalam kekafiran. Jika dia mati sambil meninggalkan solat maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.

Wahai Muhammad, jika aku berdusta Allah akan menjadikanku debu.
Wahai Muhammad, apakah kau akan bergembira dengan umatmu padahal aku mengeluarkan seperenam mereka dari islam?


10 PERMINTAAN IBLIS KEPADA ALLAH

"Berapa yang kau pinta dari Tuhanmu?"

"10 macam"

"Apa saja?"

Aku minta agar Allah membiarkanku berbagi dalam harta dan anak manusia, Allah mengizinkan.

Allah berfirman, "Berbagilah dengan manusia dalam harta dan anak. Dan janjikanlah mereka, tidaklah janji syaitan kecuali tipuan." (QS Al-Isra :64)

Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba, aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah.

Aku minta agar Allah membiarkanku ikut bersama dengan orang yang berhubungan dengan isterinya tanpa berlindung dengan Allah, maka syaitan ikut bersamanya dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan.

Aku minta agar boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.

Aku minta agar Allah menjadikan bilik mandi sebagai rumahku.

Aku minta agar Allah menjadikan pasar sebagai masjidku.

Aku minta agar Allah menjadikan syair sebagai Quranku.

Aku minta agar Allah menjadikan pemabuk sebagai teman tidurku.

Aku minta agar Allah memberikanku saudara , maka Ia jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku.

Allah berfirman, "Orang - orang boros adalah saudara - saudara syaitan. " (QS Al-Isra : 27)

Wahai Muhammad, aku minta agar Allah membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku.

Dan aku minta agar Allah memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia.

Allah menjawab, "Silakan", aku bangga dengan hal itu hingga hari kiamat. Sebahagian besar manusia bersamaku di hari kiamat.

Iblis berkata : "Wahai muhammad, aku tak boleh menyesatkan orang sedikitpun, aku hanya boleh membisikan dan menggoda."

Jika aku boleh menyesatkan, tak akan tersisa seorangpun.

Sebagaimana dirimu, kamu tidak boleh memberi hidayah sedikitpun, engkau hanya rasul yang menyampaikan amanah.

Jika kau boleh memberi hidayah, tak akan ada seorang kafir pun di muka bumi ini.

Kau hanya boleh menjadi penyebab untuk orang yang telah ditentukan sengsara.

Orang yang bahagia adalah orang yang telah ditulis bahagia sejak di perut ibunya. dan orang yang sengsara adalah orang yang telah ditulis sengsara semenjak dalam kandungan ibunya.

Rasulullah SAW lalu membaca ayat : "Mereka akan terus berselisih kecuali orang yang dirahmati oleh Allah SWT " (QS Hud :118 - 119)

Juga membaca, " Sesungguhnya ketentuan Allah pasti berlaku" (QS Al-Ahzab : 38)

Iblis lalu berkata : " Wahai Rasul Allah takdir telah ditentukan dan pena takdir telah kering. Maha Suci Allah yang menjadikanmu pemimpin para nabi dan rasul, pemimpin penduduk syurga, dan yang telah menjadikan aku pemimpin makhluk-makhluk celaka dan pemimpin penduduk neraka. aku si celaka yang terusir, ini akhir yang ingin aku sampaikan kepadamu. Dan aku tak berbohong."


Artikel Berkaitan : Kisah Syaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w
#DIKUTIP DARI SYAJARATUL KAUN, DOKTRIN TENTANG PRIBADI MANUSIA PILIHAN, MUHAMMAD SAW, YANG DITULIS OLEH ASY-SYAIKH AL-AKBAR MUHYIDIN IBNU ARABI ABDULLAH MUHAMMAD BIN ALI BIN MUHAMMAD BIN AHMAD BIN ALI AL-HATIMI ATH-THA'I AL-ANDALUSIA), 17 RAMADHAN 560 H - 22 RABI'UTS-TSANI 63

Friday, August 3, 2012

Jika niat melakukan kebaikan..teruskan!


Assalammualaikum dan salam Jumaat buat saudara mara dan sahabat..

Hari ini telah masuk hari ke 14 ibadah puasa dan fasa ke2 Ramadan yang telah kita tunaikan. Ramai antara kita yang mengambil peluang menyampaikan sedekah Jariah membantu golongan yang memerlukan. Semoga sedekah Jariah berkenaan mendapat sepenuhnya rahmat dari Allah SWT.


Tetapi… kadang-kadang akan bermain difikiran kita bahawa adakah kebaikan yang kita lakukan itu boleh diumumkan pada khalayak ramai? Sebagai contoh, dalam satu-satu upacara atau aktiviti yang kita laksanakan biasanya kita akan ambil gambar untuk dimuat turun ke dalam portal atau blog supaya dapat dibaca oleh orang umum atau mad'u. Hatta, bantuan yang diberikan pun perlu didedahkan berapa jumlahnya? Agak2 adakah ini akan menggugat ikhlas dalam beribadah?

Firman Allah SWT :
 "Jikalau kamu menzahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka Yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh Yang baik). dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa Yang kamu lakukan" - (Surah Al-Baqarah, ayat: 271)

Merujuk kepada kisah khulafau Ar-Rasyidin, bilamana Saidina Abu Bakar r.a. hendak melaksanakan ibadah qiamullail maka dilaksanakan dalam suasana yang sunyi dan tenang (bacaan yang perlahan). Akan tetapi, bagi Saidina Umar, ibadah qiamullail dibuat dalam suasana yang terang dan dijaharkan (dikeraskan suara) bacaannya supaya dapat mengejutkan sahabat2 yang lain untuk sama2 beribadah. Hal ini diketahui oleh Rasulullah S.A.W., lantas Rasulullah S.A.W. mengiyakan ibadah kedua-dua orang sahabatnya.

Hikmah yang dapat diambil daripada keadaan tersebut, kebaikan yang diumumkan kepada orang ramai mestilah mempunyai 2 syarat :

1.       Mengajak kepada amar makruf
2.       Tidak menimbulkan fitnah

Contohnya, seseorang individu suka bersedekah maka harus untuknya menyatakan amalannya jika dapat mengajak orang2 di sekelilingnya untuk bersedekah, namun jika perkara ini akan menimbulkan keraguan dalam amalnya itu, maka tidak perlu untuk dia menyatakan sedekahnya itu. Tetapi, jika dia memberi sedekah hasil daripada peruntukan organisasi, maka dia perlu untuk menyatakan sedekah (pemberian) itu kerana jika dia menyembunyikannya maka ada pihak akan menyatakan bahawa duit tersebut telah 'digelapkan'.

Walau bagaimanapun, jika kita berniat untuk membuat kebaikan dan amal Jariah..teruskan sahaja niat tersebut. Selebihnya serahkan sahaja kepada Allah SWT untuk menentukan.



Thursday, August 2, 2012

Mohon Rahmat, Keampunan dan Penghindaran dari Siksa Neraka

Bulan Ramadhan dibahagi kepada 3 bahagian:-

10 hari pertama di bulan Ramadan adalah RAHMAT. Pada 10 hari itu, banyak sekali rahmat yang diturunkan Allah SWT kepada kita. Oleh kerana itu, sebaik-baiknya pada 10 hari pertama ini, kita perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT, sentiasa perbanyakkan ibadah agar setiap hari kita sentiasa berada di dalam rahmatNya. 


Firman Allah SWT, 
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.- (Surah Al Baqarah, ayat :186)

Kemudian 10 hari kedua adalah MAGHFIRAH atau KEAMPUNAN. Pada 10 hari kedua digalakkan kita perbanyakkan solat malam, berdoa dan berzikir, kerana pada 10 hari kedua ini adalah kesempatan kita untuk memohon keampunan atas dosa-dosa yang kita lakukan tanpa sedar ataupun tidak. Hendaknya kita berdoa dan berzikir untuk mendapat keampunan dari Allah SWT agar diampuni dari dosa-dosa dan dijauhkan dari siksa api neraka.


Dan 10 hari terakhir adalah PENGHINDARAN diri dari siksa api neraka. 10 hari terakhir ini lah kesempatan kita untuk menyucikan diri dengan ibadah dan perbanyakkan berdoa agar kita sentiasa dihindarkan dari api neraka. Pada 10 hari terakhir ini terdapat juga malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih mulia dari seribu bulan.

Firman Allah SWT,
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” - (Surah Al Qadr, ayat 3-5)



 Allah SWT berfirman,
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya". - (Surah Al Araf, ayat 56)

Semoga perjuangan ibadah kita pada Ramadan kali ini akan beroleh rahmat dan keampunan dari Allah SWT dan mendapat kemenangan seperti yang diinginkan oleh semua mukmin.

Wallahualam..