Nuffnang Ads

Tuesday, September 25, 2012

Ujian Allah SWT..kerana manusia mampu



Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”.(Surah Al – Ankabut, ayat : 2-3) 

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Bagi orang yang beriman, ‘Kematian’ adalah penamat segala ujian. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Tidak ada hari tanpa diuji. Atas hukum itulah kita hidup dan mati.

Terimalah segala ujian itu dengan redha dan sabar kerana ujian itu adalah jalan untuk kita mengenal Allah SWT. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Penyayang. Pada ujian kaya, Allah memperkenalkan diriNya yang Maha Pemurah. Pada ujian ilmu, kita diperkenalkan , Allah itu Maha Mengetahui.

Dalam satu hadith dilaporkan oleh Anas r.a yang Rasulullah pernah berkata,

Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah SWT berfirman kepada malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. 

Satu ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”.Maka Baginda menjawab, “Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.” (Riwayat Imam At-Tirmizi) 

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Itulah perjalanan hati kita jika kita manusia beriman. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

Ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa disamping mematangkan kita. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, jangan marah apalagi mencerca. Tetapi didiklah  diri..ada hikmah dan maksud baik di sebalik semua ujian Allah itu. Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”. (Surah Al-Baqarah, ayat :45)

Berpeganglah pada prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Surah Al-Baqarah, ayat 286)

Wallahualam.


 



Monday, September 24, 2012

Sanggup mengundang bahaya kerana ingin kelihatan cantik


Dua hari berturut-turut Buletin Utama TV3 memaparkan kisah disebalik penggunaan Kanta Lekap. Harap-harap si penggunanya dapat mengambil iktibar daripada kisah ini.  Anak-anak saudara makcik juga tidak ketinggalan di antara pengguna Kanta Lekap yang berwarna ini.  Daripada kajian yang dibuat, 80% pengguna kanta lekap ini berisiko menjadi buta. MasyaAllah..


Memang menjadi trend anak-anak muda sekarang memakai kanta lekap berwarna-warni yang dipadankan dengan pakaian untuk berseronok-seronok. Dari kajian yang dibuat, kanta2 berwarna ini akan luntur warnanya bila direndam dalam bahan pencuci kanta lekap. Bayangkan bila pengguna melekapkan kanta ini ke mata mereka dalam tempoh beberapa jam. Fikir-fikirkan lah risiko jangkitan/iritasi kegatalan dan kebutaan yang akan terundang.

Bermacam komplikasi akibat dari pemakaian kanta lekap ini. Antaranya :-
  1. Superficial Punsctate Keratitis (SPK) – Permukaan mata rosak akibat dari pemakaian kanta mata yang ketat dan menyebabkan mata kekurangan oksigen (hypoxia), elergi dan keracunan. Akibatnya pengguna menjadi tidak selesa, mata menjadi sangat sensitive pada cahaya (fotofobia) dan timbul bintik-bintik di kornea mata.
  2. Mata mengalami iritasi akibat sensitif kepada bahan-bahan pembawa alahan seperti debu, habuk ataupun daripada pemakanan. Akibatnya menyebab mata menjadi gatal dan merah sehingga kelopak mata membengkak.
  3. Sindrom mata kering (keratoconjunctivitis sicca). Timbul bintik (keratitis) pada kornea bawah. Akibatnya mata seperti rasa terbakar, airmata sering keluar dan cairan mata berlebihan.
  4. Kornea Ederma – Cairan pada kornea menjadi berlebihan hingga timbul stress pada kornea. Akibatnya penglihatan menjadi kelam (fotofobia), mata merah, tidak selesa semasa menanggalkan kanta, pembuluh darah (urat mata) kelihatan lebih jelas dan timbul SPK.
  5. Infiltrates – Keradangan pada jaringan mata kerana kanta lekap yang tidak bersih, mata kekurangan oksigen, tindakabalas alahan hingga terbitnya jangkitan.
  6. Microbial Keratisis – Kontaminasi organism berbahaya ke dalam mata iaitu bakteria, kulat,  protozoa, virus hingga menyebabkan pembengkakan pada mata.      



Kepada generasi masakini, bersyukurlah dengan apa yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Segala apa yang dianugerahkan adalah pinjaman semata-mata. Barang pinjaman wajib dijaga dengan baik.  Jangan sampai kerana kelalaian kita sendiri, anugerah ini ditarik balik. Subhanallah…




Friday, September 21, 2012

HUSNUL KHATIMAH VS SU'UL KHATIMAH



HUSNUL KHATIMAH maksudnya PENGAKHIRAN YANG BAIK..manakala SU’UL KHATIMAH pula membawa maksud yang bertentangan dengan husnul khatimah iaitu PENGAKHIRAN YANG BURUK…

Kedua-duanya mempunyai maksud pengakhiran. Setiap manusia yang ALLAH ciptakan didunia ini akan menempuh alam barzakh dengan melalui satu perjalanan menuju ke akhirat iaitu kematian. Dalam lain perkataan, setiap manusia akan mati bila sampai masanya. Ini lah hakikat yang wajib diterima sebagai orang Islam yang beriman.  Maksud pengakhiran ini  adalah  bagaimanakah kematian kita nanti..Apakah berakhir dengana baik ataupun buruk…

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya tiba, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun dan tidak dapat mereka menyegerakannya”. (Surah Yunus, ayat : 49)

Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan”. (Surah Yunus, ayat : 56)

Sebelum menuju kepada kematian, kita akan menempuh alam kehidupan. Pilihan adalah di tangan kita sendiri samada memilih laluan hidup kita pada jalan yang benar atau salah. Allah SWT telahpun menyediakan panduan mengikut syariatnya. Al-Quran dan Sunnah ditinggalkan untuk hambaNYA. Semua persoalan dan jawapan terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah yang akan  menjadi penyelamat semasa kita hambaNYA menghadapi sakaratul maut…

Biarlah perginya kita menemui Ilahi dalam redhaNYA. Biarlah pada saat nyawa hendak diambil, kita mampu melafazkan dua kalimah syahadah. Biarlah perginya kita meninggalkan segala kebaikan.

Sentiasa lah berdoa kepada Allah SWT semoga kita tidak  tergolong antara manusia yang berisiko dimatikan dalam Su’ul Khatimah, jahil dalam ilmu tauhid, tidak mensyukuri nikmat Iman dan Islam, derhaka kepada kedua ibubapa, zalim kepada sesama manusia ataupun haiwan dan sebagainya.

Sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT, setiap pengakhiran biarlah berakhir dengan  baik atau Husnul Khatimah. Usaha ini datang dari kita sendiri. Kalau tiada usaha, manakan mungkin dapat Husnul Khatimah..’ANDA BUAT..ANDA DAPAT” (seperti yang selalu disebut oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood)

Bila kita terlupa dan terleka dengan dunia, ingatlah kematian. Kerana dengan mengingati mati kita akan kembali kejalan-Nya…