Nuffnang Ads

Thursday, January 31, 2013

Antara Dua Jangan



Hasan Al-Basri pernah menyebut, “Telah dijadikan agama itu di antara DUA JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”.

Sifat melampau (taghut) itu mengundang kerosakan dan bencana.

Melampau pada akhlak, binasa kepada peradaban. Melampau pada makan dan minum, binasa kepada badan. Melampau pada keduniaan, binasa kepada kehidupan. Dalam erti kata sebenar, melampau itu membunuh keseimbangan. Itulah hukum Allah SWT kepada kehidupan alam.

Dalam aspek beramal, dari ‘Masyhur’ tercatat, sahabat yang ingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa iftar dan beribadah tanpa nikah, dicela oleh Nabi SAW kerana itu bukan caranya manusia berTuhan. Semua harus seimbang. Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan sebahagiannya untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga. Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku”, kata Nabi SAW.

Dari aspek prinsip, Islam mengajar kita jangan kita melampau dalam menyokong seseorang sehingga kata-kata mereka sudah di’ya’kan sebelum didengar. Jangan kita melampau menolak dan membenci seseorang, pendapat mereka sudah dinafikan sebelum didengar.

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Al Zumar, ayat : 18)

Sesungguhnya agama ini dijadikan di antara dua jangan… JANGAN melampau, dan JANGAN cenderung kepada orang-orang yang zalim.

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Surah Hud, ayat : 113)

Sheikh Fadhal Hasan Abbas berkata, "Sesungguhnya sejarah silam telah menunjukkan betapa sekelian mereka yang cenderung kepada golongan yang zalim di dalam Perang Salib dan Perang Tatar, bahawa mereka itu dihina oleh Allah sehina-hinanya dan Allah tidak memberikan bantuan kemenangan kepada mereka.  Sesungguhnya apa yang telah dibuktikan oleh sejarah silam, turut juga terbukti dalam sejarah semasa, bahawa Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada sesiapa yang cenderung kepada musuhnya yang zalim itu".  (Al-Khumasiyyat Al-Mukhtarah ms 156), 

Sumber : ABU SAIF @ www.saifulislam.com



Friday, January 25, 2013

Sempena Maulidul Rasul



“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”. (Surah Al Ahzab, ayat : 56)



Wednesday, January 23, 2013

Terampunkah 6 jenis dosa ini walaupun dengan bertaubat?

Merujuk kepada Kitab TANBIHUL GHAFILIN , Jilid 1 & 2. mukasurat : 532


1- Makan harta anak yatim secara haram.

Untuk menghapuskan dosa tersebut pemakan harta anak yatim mesti membayar kembali harta yang telah digunakan serta memohon maaf kepada anak yatim tersebut . Jika anak yatim tersebut memaafkan perbuatannya, barulah boleh bertaubat kepada Allah SWT. Seandainya anak yatim tersebut tidak memaafkan perbuatannya maka dosanya tidak terhapus.

 2- Menuduh wanita solehah berzina.

Orang yang menuduh wanita solehah hendaklah memohon maaf kepada wanita tersebut, jika wanita solehah tersebut memaafkan, maka terhapuslah dosa tersebut dan bolehlah yang menuduh bertaubat kepada Allah SWT. Sekiranya wanita solehah berkenaan tidak memaafkannya maka dosa tidak terhapus dan tidak boleh bertaubat kepada Allah SWT.

 3- Lari dari medan Jihad yang memperjuangkan kalimah Allah SWT.

Mereka yang lari dari medan jihad adalah mereka yang dayus dan tidak layak memasuki Syurga. Cuba kaji dalam sejarah Islam hukuman mereka yang lari dari medan Jihad sehingga Rasulullah SAW terpaksa menunggu arahan Allah SWT untuk memaafkan kesalahan tersebut.

 4- Melakukan sihir.

Mereka belajar sihir dan pengamal sihir adalah mereka yang Syirik kepada Allah SWT, memang tidak layak bertaubat kepada Allah SWT melainkan mengucap kembali kalimah Syahadah dan mesti menyerah kepada kerajaan Islam untuk melaksanakan hukuman yang sewajarnya.

 5- Bersyirik kepada Allah SWT atau menyamakan kedudukan Allah SWT dengan makhluk.

Dosa syirik atau menyamakan Allah SWT dengan makhluk samada melalui niat,percakapan dan perbuatan yang disedari atau tidak disedari maka dosa ini tidak boleh bertaubat kecuali dengan mengucap kembali kedua Kalimah Syahadah dan pemerintah Islam mesti melaksanakan hukuman hudud barulah Allah SWT rela menerima kembali amal ibadat seseorang hamba yang telah menduakan Allah SWT atau menyamakan Allah SWT atau menyengutukan Allah SWT.

 6- Membunuh Para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT.

Mereka yang membunuh Para Nabi hendaklah dihukum bunuh dan terserah kepada Allah SWT untuk mengazab mereka. Rasulullah SAW pernah mengutuskan utusan untuk membunuh mereka yang menghina atau mengejek Allah SWT dan Rasulullah SAW semasa penubuhan Negara Islam Madinah.

Wallahua'lam

Friday, January 18, 2013

Salam Jumaat


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Semoga salam pagi Jumaat ini membawa seribu rahmat dan manfaat.

Apakah kita rasa kita antara insan yang paling sibuk dalam meniti jalan hidup?  Ada masanya fikiran kita tersumbat  dengan pelbagai masalah. Masalah diri dan keluarga, masalah kerja, masalah rakan-rakan.  Segala-galanya menjadi mehnah (ujian/bala) dan tribulasi (kesengsaraan) dalam kehidupan.


Sebagai manusia biasa, suara hati kita terasa menjerit  inginkan kerehatan  dari permasalahan di dunia ini. Jiwa kita terus ditekan dengan persoalan, “Boleh kah kita berehat dari kehidupan?.

Akibat kesibukan ini kita selalu terlupa untuk bermuhasabah tentang kehidupan, tentang ketaatan, tentang pengabdian diri kita kepada Allah SWT. Tiada ruang dibina untuk meningkatkan iman.

Sehubungan itu, tolaklah kesibukan dunia itu ke tepi. Mari lah kita menjadi HAMBA.  Sematkan azam untuk menyuntik semangat diri agar sentiasa segar untuk menyusur perjalanan seterusnya. Pada setiap perhentian rehat yang kita luangkan, kita sentiasa terus terdorong untuk memperbaiki diri, selanjutnya ruang meningkatkan iman biarlah sentiasa terisi.

Jadikan diri kita insan yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kesenangan yang kita ada. Teruskan bergerak dan kembalilah kepada Allah SWT dalam keadaan hati yang sempurna. Walau setinggi mana pun kedudukan kita, kita hanyalah HAMBA kepada yang MAHA ESA.

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);  Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;  Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),  Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”. (Surah Asy-Syams, ayat 7-10)