Nuffnang Ads

Tuesday, March 26, 2013

Rakan Sebaya…KAWAN ataupun LAWAN



Berkawan adalah penting kepada kita. Namun begitu, berkawan boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan  jika kita tidak pandai membuat pilihan.  Pengaruh rakan sebaya boleh membawa kepada  perubahan cara dan tingkahlaku seseorang sama ada cara bercakap, kelakuan dan juga cara berfikir. Apakah kepentingan rakan sebaya dalam kehidupan kita? Adakah KAWAN ataupun LAWAN.

Berhati-hati memilih rakan sebaya. Bukan semua rakan sebaya patut dijadikan kawan kerana sebahagiannya akan mempengaruhi ke arah kebaikan dan sebahagian lagi  mempengaruhi ke arah kejahatan. Mereka memainkan peranan yang penting di dalam menentukan arah hidup kita.

Samada berperanan sebagai seorang kawan atau pun berperanan sebagai seorang lawan, pilihlah rakan dengan bijak.  Kesilapan memilih pasti akan mengakibatkan keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin diri.

Jika menghadapi masalah carilah ibubapa dan keluarga sebagai tempat mengadu hal bagi mendapat panduan dan pertolongan kerana bimbingan daripada ibubapa adalah jalan terbaik. Jika ditegur atau dimarah oleh mereka itu kerana mereka sayang.  Tiada ibubapa dan adik beradik mahu melihat kita menjadi manusia rosak.

Jadilah remaja yang praktikal, yakin pada diri sendiri dan mempunyai keberanian moral untuk tidak bersetuju dan berkata ‘TIDAK’ apabila rakan-rakan sebaya cuba mendesak untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya, tingkahlaku yang baik dan undang-undang. Naluri perlu kuat  untuk melakukan perkara yang  betul dan mempunyai keberanian untuk mempertahankan pandangan sendiri.  Bukan mengikut kata orang lain.  Binalah harga diri dengan mengingatkan diri supaya tidak  mengejar ‘populariti’ di kalangan kawan-kawan tetapi membina kualiti unik kita sebagai manusia dari kasih sayang dan penerimaan yang tidak terhingga daripada ibubapa.

Dekati  rakan-rakan yang berfikiran positif, rajin dan bersemangat tinggi serta mempunyai halatuju yang benar. Rakan-rakan yang positif ini akan mewujudkan model-model positif yang boleh dikembangkan. Dalam masa yang sama, elakkan diri dari bergaul dengan rakan yang bermasalah samada malas, tidak berdisiplin dan suka kepada keseronokan. Jadilah agen sosial yang boleh mencorakkan personaliti baik kepada individu lain.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”

Rakan ketawa memang ramai, rakan menangis sukar dicari.  Terimalah apapun teguran dan kemarahan dari ibubapa, abang, kakak dan juga saudara mara.  Teguran dan kemarahan itu tanda mereka sayang dan prihatin.

INGATLAH, diluar sana ramai pemangsa yang sentiasa menunggu jika kita silap memilih haluan.  Dorongan nafsu mereka lebih kuat dari akal, yang memakan mangsanya tanpa rasa belas.




Friday, March 22, 2013

FREEDOM of RIGHTS? Islam never allow the RIGHTS to do the WRONG.


http://www.facebook.com/pages/Friends-of-Dr-Harlina-Halizah-Siraj/137884202953365?fref=ts


FROM DR HAR WITH LOVE
TEGURAN IKHLAS BUAT YANG BERKENAAN

Salam ukhuwah

Atas dasar tanggungjawab dan amanah, Dr Har memberanikan diri mengajukan pandangan terhadap fenomena semasa yang amat membimbangkan – di mana semakin ramai ahli masyarakat yang tidak lagi peduli dan kisah dengan teguran orang lain di sekeliling. Apa yang lebih menyedihkan – apabila alasan yg diberikan berlandaskan hujah hak asasi peribadi, yang dianggap mutlak milik individu. Orang lain dianggap tidak berhak campurtangan dan mempersoalkan keputusan, tindakan dan tingkah laku seseorang itu.

Terbaru, hari ini (21 Mac 2013) terdapat laporan akhbar harian mengenai komen seorang yang dikenali ramai mengenai `hak peribadi’nya utk berpakaian seksi. Beliau juga memberi amaran agar orang ramai jangan terlalu menjaga `tepi kainnya’. Sedih dan sayu rasa hati membaca komen tersebut. Masakan boleh Dr Har buat tak kisah dan membiarkan golongan ini begitu sahaja. Kalau ada yang mahu mengatakan : `Who cares?’. Dr Har jawab, `I do care! A lot!‘

Dalam konteks ini, perlu sangat diperjelaskan bila nak bercakap pasal hak, ada beberapa noktah yang mesti diperhatikan :

Jangan lupa, jauh mendahului hak individu adalah hak Allah SWT yang Maha Agung, Perkasa dan Sempurna. Hak Allah SWT adalah untuk disembah, dipatuhi dan diagungkan. Segala suruhan-Nya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, maka pujuklah diri dan relakanlah jiwa untuk patuh, taat dan setia. Larangan yang membawa kemurkaan-Nya adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan manusia itu sendiri, maka jauhilah sejauh-jauhnya. Membelakangkan hak Allah, tidak memperdulikan suruhan-Nya – adalah satu manifestasi kesombongan yang luarbiasa!

Janganlah pula terlupa, tubuh badan kita sebenarnya bukan hak milik kita, yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Ianya hanya pinjaman sementara, dari Empunya yang tidak pernah terleka. Keindahan tubuh badan ini boleh hilang sekelip mata, semua terpulang kepada yang Empunya. Bukankah kita mengimani adanya Hari Pembalasan di Padang Mahsyar? Khabarnya, itulah saat segala anggota tubuh badan kita akan mengadu perihal penyalahgunaan dan pengkhianatan kita. Mulut yg begitu lantang bersuara semasa di dunia, terkunci rapat semasa ditimbangtara. Tentu sekali kita takkan boleh berkata kepada Tuhan yang Empunya segalanya, `Jangan jaga tepi kainku! ‘

Jangan lupa, selain hak adanya pula tanggungjawab dan rasa hormat. Tiga aspek ini : Responsibilities, Rights & Respect – 3R, tak boleh dipisahkan. Hak hanya boleh diberikan kpd mereka yg sudah menjalankan tgjwb & peranan mereka dengan baik dan sempurna. Peruntukan hak mestilah pula dihormati. Jangan asyik berhujah dengan hak kita yang itu dan yang ini. Tanyakan pada diri, sudahkah tanggungjawab dan peranan asasi kita sebagai hamba Allah dan khalifah terlaksana? Kalau belum, hak apa sebenarnya yang ada pada dirimu?

Jangan lupa, kita manusia makhluk Allah yg perlu hidup secara berkelompok dan bersosial. Kita manusia lemah, amat saling bergantungan dan perlu-memerlukan. Selain hak individu, ada di sana hak kolektif (jamaĆ­) yang menjadi milik komuniti di sekelilingmu. Bila bertembung antara hak individu kita dengan hak kolektif massa – ketahuilah, hak kolektiflah yang harus didahulu dan diutamakan. Demi sebuah ketenangan hidup yang penuh rasa hormat-menghormati, ayuh kita belajar dari kelompok manusia dulu – mendahulukan hak kolektif dibandingkan hak individu.

Mungkin yang paling mendapat manfaat dari nukilan ini, bukanlah kelompok sasaran yang diajukan teguran.

Tak mengapalah, Dr Har yakin, ada kelompok yang pasti mendapat sedikit peringatan dan tazkirah.
Fazakkir, innafa’atiz zikra : Dr Har akan terus memberi peringatan, sesungguhnya peringatan yang berulang-ulang itu banyak manfaatnya!

Salam ukhuwah :
Dr.Harlina Halizah Siraj ( Dr.Har)

Monday, March 4, 2013

Cantik samada pada pandangan ataupun pada hati



Bercerita mengenai kecantikan, yang berkait rapat dengan hal ini adalah perempuan. Setiap hari kita dipertontonkan dengan berbagai-bagai iklan bahan kecantikan melalui media elektronik, media cetak, laman-laman internet dan sebagainya. Melalui iklan-iklan berkenaan kita ditarik untuk membeli berbagai alat kecantikan seperti krim pencegah jerawat, krim anti penuaan, krim pemutih kulit dan macam-macam lagi. Kerana daya tarikan untuk mencantikkan diri  ini ada diantara kita menjadi obses dan mencuba berbagai-bagai cara agar kelihatan cantik hingga melanggar etika kecantikan.

Apakah kita sedar, di sebalik pesona alat solek itu, tersembunyi berbagai risiko kepada kesihatan.  Ramai yang mungkin tidak sedar  tentang hal ini atau mungkin tidak  pernah tahu pun tentang penyakit-penyakit yang berpunca dari kosmetik itu sendiri seperti dermatitis (radang kulit), jerawat, photosensitivity (alahan pancaran matahari), pigmented cosmetic dermatitis (pigmen bertambah atau kulit bertambah gelap ketika pemakaian kosmetik dihentikan), granuloma (keradangan pada satu-satu bahagian tubuh akibat tisu  yang rosak) dan sebagainya.

Pada hakikatnya, alat solek hanya untuk kecantikan dan perawatan luaran manusia sahaja. Menurut Al Quran, kecantikan yang sempurna ada pada penciptaan bidadari syurga. Istilah  cantik dalam Al Quran adalah cantik luar dan cantik dalaman, cantik perilaku dan cantik hati budi. Kecantikan itu bermula dari hati. Islam lebih mengutamakan pesona kecantikan dari dalam (inner beauty) daripada kecantikan fizikal kerana hatilah yang menerajui perilaku kita samada baik  atau buruk. Kecantikan  pada wajah merupakan kurniaan Allah SWT yang tidak boleh diubah, sedangkan kecantikan hati membawa kepada taqwa dan sentiasa boleh  diperbaiki asalkan kita terus berusaha.

Ciri-ciri hati yang cantik antara lain bebas dari sikap sombong, tamak dan dengki, tawaduk (rendah hati) dan qanaah. Hati orang yang tawaduk  adalah ibarat  mata air yang selalu mencari tempat yang rendah dan menyejukkan orang lain. Hati orang yang qanaah tidak pernah merasa sempit dengan keadaan yang diterimanya. Peribadi berhati cantik akan sentiasa menjadi  insan yang memberi ketenangan pada sekelilingnya.  Tiada orang lain yang berasa tersiksa, takut, terancam  dan dirugikan tatkala bersamanya. Peribadi yang cantik juga adalah insan yang pandai mengawal emosi, sabar,  saling memaafkan dan tidak suka membuka aib saudaranya.

Persoalannya, apakah mereka yang mengutamakan kecantikan hati, tidak perlu merawat kecantikan luaran?  Kecantikan luaran (fizikal) masih perlu  dirawat bagi  mempamerkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Kecantikan itu hakmilik penciptanya  dan ianya adalah sebagai pinjaman yang wajib dijaga dengan sempurna. Jangan sampai  produk yang kita guna untuk merawat kecantikan merosakkan apa yang kita pinjam. Apa yang penting kaedah ketrampilan, biarlah cantik di rumah dan kemas bila keluar. Bukan berhias untuk menarik pandangan orang.

Tidak menjadi kesalahan untuk mengenakan alat solek tetapi perlulah berhati-hati agar jauh dari bahaya kesihatan. Berhati-hati dalam memilih produk dan sesuaikan mengikut keperluan. Jangan pernah lupa mengambil tahu kandungan produk yang mungkin mengandungi bahan larangan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan hukum agama. Allah SWT menyediakan nikmat  yang tiada tandingnya di alam ini sebagai sumber mencantikkan diri, seperti buah-buahan,  sayur –sayuran , rempah ratus  dan bermacam lagi. Malah minum air kosong juga  membuat kita makin sihat dan segar.

Sentiasa lah bersyukur dengan segala nikmat itu.

"Untuk membentuk bibir yang menawan ucaplah  kata-kata yang baik.  
Untuk menyerlahkan mata yang indah, pandanglah kebaikan pada setiap orang yang kita ketemu.
Untuk melangkah dengan hebat, aturlah setiap perjalanan dengan segala ilmu.
Nescaya kecantikan itu akan terserlah setiap waktu"