Nuffnang Ads

Tuesday, March 11, 2014

MH 370 hilang...



Sejak beberapa hari  lalu kita dikejutkan dengan misteri kehilangan kapalterbang MH370 yang membawa lebih 200 penumpang termasuk crew. Rata-rata liputan di dada akhbar dan di TV memaparkan kisah pencarian MH370  ini.  Bukan sahaja Malaysia terlibat dalam  misi pencarian ini malah beberapa negara lain sedia memberi khidmat menghulurkan berbagai bantuan.

Pada waktu yang sama kita melihat ada  pengguna media sosial yang melatah dan memberikan komen-komen negatif di mana mencerminkan mereka tidak dapat membezakan  antara  ANDAIAN, TUDUHAN, KHABAR ANGIN dengan FAKTA.

Semoga Tragedi MH370 ini menginsafkan kita bahawa kebanyakan perbualan kita adalah LAGHA. Lantang berkata tanpa fakta, adalah bencana yang menjauhkan manusia daripada kebenaran dan daripada Tuhan.

Mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat sepatutnya berkata yang baik-baik atau jalan yang mudah diam sahaja.Dalam disiplin sejarah, kita diajar supaya komited dengan SUMBER yang SAHIH, dan kita bersabar serta bekerja keras sebanyak mana diperlukan untuk menemui satu KEBENARAN.



Saat ujian terus menerpa  dan tidak nampak jalan yang boleh membantu, ini kemungkinan teguran dari Allah SWT agar kita sedar, bahawa kepada NYA  tempat  kita bergantung. Hanya kepada Allah SWT  kita memohon pertolongan  melalui solat dan doa dengan penuh sabar dan istiqomah.


Setiap ujian yang terbentang di hadapan kita bukan sekadar  untuk menguji betapa tabah dan kuatnya hati  dan jiwa kita tetapi ia juga menguji betapa kentalnya iman dan jatidiri  dalam peribadi  setiap dari kita.

Bagaimana cara untuk  kita berhadapan dan mengatasi  segala ujian  yang datang  itulah yang akan membuka satu persatu  hijab  diri untuk kita lebih mengenali dan memahami siapa kita sebenarnya. 

Untuk mengatasi sesuatu ujian adalah dengan  mengekalkan ketenangan  pada perasaan. Beremosi tidak akan membimbing kita kepada suatu pemikiran atau tindakan positif. Pada setiap ujian akan sentiasa ada anugerah yang indah yang pasti menyusul samada dalam sedar ataupun  tidak .  Semoga Allah SWT sentiasa mengampunkan dosa-dosa dan kesalahan kita semua. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang sombong  di muka bumi ini di mana dalam setiap nafas kita sentiasa terdetik hati nurani kita untuk mengakui kebesaran Allah Yang Esa.  Amin..