Nuffnang Ads

Friday, June 27, 2014

Salam Ramadan - Jom berkongsi tips sempena menjalani ibadah puasa



Berpuasa  adalah  merupakan satu proses detoksifikasi  iaitu proses  pembuangan toksin (kotoran) dari tubuh badan.  Bila perut direhatkan melebihi  8 jam, detoksifikasi akan berfungsi secara baik.  Bulan Ramadan  ini secara langsung  membantu  perut kita  untuk berehat dan meningkatkan daya tahan tubuh kerana manusia mempunyai kemampuan terapi secara semulajadi.  Semoga  setiap  dari kita akan kembali sihat  segar  dan dapat meningkatkan  amal  ibadah menjadi  lebih baik.  


Di bawah ini antara tips-tips yang boleh diikuti semasa menjalani ibadah puasa.  :D   (**Tips ini makcik dapat dari artikel seorang Pegawai Pemakanan, JAKIM.  Sudah lupa namanya.  Dikongsi bersama  agar bermanfaat kepada semua)


1        Adalah kesilapan besar menghimpunkan makan malam dan berbuka puasa.  
Nabi SAW berbuka puasa  dengan 3 biji kurma dan air kosong.  Kurma adalah makanan yang sangat tinggi kandungan potassium. (makanan bergula perang).   Berbuka puasa bukan untuk perut tetapi untuk memberi tenaga kepada hypotanamos (otak dalam otak).   Hypotanamos yang keletihan berfungsi sepanjang hari , tidak akan berfungsi  dengan  baik sekiranya makanan yang masuk dengan banyak ketika berbuka puasa.  Ini akan menyebabkan masalah yang serius pada kesihatan.

2         Jangan  ‘window shopping’  ke bazaar Ramadan.  Aktiviti ini akan mengganggu fungsi kawalan hypotanamos.  Menyebabkan hilang perhitungan untuk membeli makanan  yang  tidak perlu.

3         Jangan lewatkan solat maghrib.  Makanan yang dimakan menghasilkan tenaga untuk diagihkan ke keseluruhan tubuh.  Setiap  1kg berat badan mempunyai 10000 trillion sel.  Tenaga ini akan  ditolak oleh tenaga yang dilakukan semasa bersolat.    Subhanallah.

4         Selepas solat maghrib sel-sel  badan mendapat semula tenaga.  Teruskan  makan malam selepas habis solat.  ‘Fully auto’  kita akan makan secara baik. Jangan lebih 5 jenis makan dalam satu hidangan.  Contoh:  Nasi, ikan,  sayur, buah dan air.

5         Selepas makan adalah sangat baik kita mandi dengan air sejuk.   Jangan guna heater.   Mandi malam paru-paru berair.  Dongeng.   Dalilnya kita berhadas besar,   feqah suruh segera mandi tanpa menunggu pagi.   Jangan mandi macam burung untuk elak paru-paru berair.   Burung mandi dengan basahkan kepalanya sahaja  tanpa membasah badan.

6         Selepas mandi, sebelum solat Isyak minum ½ cawan air dgn 3 biji kurma, satu sudu teh madu lebah dan susu segar yang diblender. (macam tak rajin jer nak prepare…haha)

7         Solat Isyak dan bertarawikhlah  dengan santai.  Tak perlu tergopoh gapah.

8         Habis solat ‘moreh’  dengan makanan yang ringan.  Makan selepas  pukul  10:30 malam boleh menyebabkan kemudaratan.   Waktu  ini tenaga sudah cukup penuh dalam badan.   Aktiviti terbaik adalah ber tadarrus  secara minima sekurang-kurangnya  sehelai mukasurat.  Aktiviti ini akan membawa input terbaik dalam otak dan hati.  Jika diisi dengan aktiviti yang lagha, otak akan  merakam  input yang lagha juga  dan  ditakuti menjadi amalan seterusnya.

9         Sebaiknya tidur sebelum pukul 12 malam untuk kerehatan.  Elakkan dari memasang lampu sewaktu tidur kerana  ia akan meningkatkan kolestrol sebanyak 4 kali ganda.

10     Jika mampu, bangun pukul 3 pagi untuk qiamulllail.  Adalah sunat mengejutkan keluarga dengan merenjis air sejuk dengan hujung jari.  Tiada masalah kesihatan untuk mandi pada waktu begini.

11     Sempurnakan 13 rakaat solat  sunat iaitu, solat  sunat wuduk, taubat, tahajjud, hajat dan witir.

12     Selepas qiam, boleh  lelapkan mata sebentar  tetapi  secara ringan.  Waktu antara 3 – 5 pagi di langit terdapat spektro berwarna merah.  Masa ini Allah anugerahkan kesembuhan kepada banyak penyakit.

13     Sahur.  Sebaik-baik  sahur adalah dari lebihan makan malam.  Lebihkan masak untuk makan malam.  Simpan untuk sahur dan jangan dicampurkan dengan  garam.  Panaskan semula sewaktu hendak sahur dan baru diletakkan sedikit garam.

14     Selepas sahur teruskan dengan solat subuh.  Jangan tidur sejurus selepas subuh untuk mengelakkan gangguan kepada hypotanamos yang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

15     Tidur qailullah (1 jam sebelum zohor).  1 minit waktu ini menyamai tenaga tidur sejam waktu biasa.

##Nota :  Cara makan kurma.
60% kebaikan berada pada selaput permukaan luar kurma.  Masukkan sebiji kurma kedalam mulut dan akhir sekali keluarkan biji.  Jangan kupas.  Kurma terbaik ada 4 jenis. Ajwa, Mabrom, Sapawi dan Mariami.

SELAMAT BERPUASA!




Wednesday, June 18, 2014

Ramadan bulan rezeki vs Pesta Makanan



Assalammualaikum. Lebihkurang 10 hari lagi Ramadan akan menjelma.  Ramai yang sudah mula merancang  berbagai program untuk diisi sepanjang Ramadan. Samada program keagamaan di surau-surau dan masjid-masjid, tidak ketinggalan juga  buat para peniaga.  Ramai yang  sudah mula merancang jualan mereka. 

Banner sudah mula  digantung di merata tempat  mengiklan tapak Pasar Ramadan (PaRam).  Awal-awal lagi sudah  ada peniaga biskut raya membuat edaran ‘sampel’ biskut mereka untuk mencari pasaran.    Pagi ini ternampak di dinding muka buku ada yang sudah memulakan pembikinan biskut raya. Tidak pasti pula samada untuk jualan ataupun untuk kegunaan sendiri.

Terdapat cakap-cakap mengatakan  Ramadan bulan rezeki.   Tidak hairan lah asalkan bulan Ramadan akan terpacak gerai-gerai  yang muncul seperti cendawan pada musim hujan.  Yang bukan peniaga tegar tiba-tiba mengambil kesempatan berniaga makanan dalam bulan Ramadan.  Ada yang sanggup mengambil cuti tanpa gaji kerana hendak mengaut keuntungan pada bulan Ramadan ini.  Keuntungan yang diraih dengan mengambil kesempatan ke atas nafsu manusia.

Semakin hari semakin kurang  orang  yang bersedia memasak sendiri di rumah bagi persediaan berbuka puasa. Ramadan kini sudah semacam menjadi pesta kepada peniaga  memperagakan pelbagai jenis makanan. 


 

Mereka yang tidak memahami mengaitkan bulan Ramadan  adalah bulan keletihan, kelemahan, mengantuk, kurang produktiviti dan terkini adalah bulan bagi pesta makanan.

Ramadan sepatutnya menjadi  bulan kesihatan, bulan silatulrahim, musim perubahan, masa hilangkan ketagihan, bulan lembut hati, bulan keluasan rezeki, bulan membaiki  institusi kekeluargaan.

Hakikatnya, puasa  mengajar kita untuk menahan nafsu.  Tetapi  lain pula fenomena yang berlaku di Malaysia ini. Peniaga  sibuk melayan nafsu mengejar keuntungan dan pembeli sibuk melayan nafsu makan yang tidak pernah berkesudahan.  Bagi peniaga sebegini sememangnya mereka untung tetapi hanya keuntungan duniawi. Manakala bagi si pembeli  yang bernafsu gagal mencapai matlamat berpuasa untuk merasai  kesusahan si miskin sebagai pengajaran menambah ibadah dan ketaatan kepada Allah. 

Setiap petang masa dihabiskan meronda ke PaRam kononnya memilih makanan untuk iftar.  Dalam masa yang sama tanpa sedar ramai yang terkorban puasanya memandang kemaksiatan di celah-celah orangramai di PaRam berkenaan.  Pembaziran makanan juga berlaku kerana membeli makanan mengikut kehendak nafsu dan bukan mengikut sunnah.  Nabi menganjurkan supaya umatnya berbuka dengan air dan buah kurma bukan secara berlebih-lebihan dengan pelbagai makanan. Yang paling sadis, ramai pula yang tidak ke Masjid mengejar pahala tarawikh atas sebab kekenyangan yang melampau.

Sepatutnya bulan puasa adalah bulan kegemilangan bagi Islam yang memperlihatkan kemuncak kekuatan umatnya untuk menjadikan bulan ‘pesta’ untuk beribadah, tidak kepada Pesta Makanan.


 

Atas dasar pembaziran itu, perbelanjaan dalam bulan puasa semakin bertambah.  Sepatutnya semakin berkurang kerana kita hanya perlu menyediakan makanan sekali sehari dengan ala kadar.  Kalau dulu ibu-ibu boleh memasak sendiri lauk pauk, kuih muih dan berkongsi sepiring dua dengan jiran-jiran mengapa kini tidak lagi.  Tidak secara langsung  berkongsi dan bersedekah itu mendapat ganjaran pahala yang hebat dari Allah SWT. Generasi kini semuanya hendak mudah dan cepat. Pada hakikatnya memasak makanan atau membuat sendiri kuih  untuk keluarga dan dikongsi dengan jiran-jiran yang sama-sama berpuasa ganjarannya tentu lebih bermakna di mata Allah SWT.

Hadis mengatakan 9/10 rezeki datangnya dari berniaga.  Dengan itu, tidak salah untuk berniaga tetapi  pilihlah perniagaan  yang lebih membina kepada ketaatan dan ibadah kepada Allah.

Seandainya jika tidak wujud PaRam, ramai yang akan berusaha  menyediakan juadah di rumah dengan ala kadar.  Tidak menyumbang kepada pembaziran dan berlebih-lebihan. Ramai yang boleh mengisi masa dengan mengaji dari terus menerus menghabiskan masa meronda ke PaRam.  Ramai yang tidak terlalu kekenyangan untuk solat tarawikh.  Ramai yang boleh berjimat dan menyumbang sedekah jariah.  Ramai yang akan terpelihara mata, telinga dan lidah. 

Dilihat melalui mata hati, Pasar Ramadan atau ‘PaRam’ adalah paparan kepada bayangan rezeki yang menipu nafsu dan menggagalkan matlamat berpuasa sebulan di bulan Ramadan.

Akhirkata, marilah kita bersama-sama menanam azam untuk berusaha menyediakan juadah iftar buat keluarga dari  air tangan sendiri daripada memilih jalan mudah yang belum tentu memberikan jaminan kepada kebersihan dan kesedapannya.  In syaa Allah.